RSS

Bakat Madrasah Singapura

08 Jul







Tulisan ini disiarkan di Cyberita Online, pada hari Rabu 1 Jun 2011

Media diminta tonjolkan bakat pelajar Madrasah

Walid Jumblatt Abdullah


SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada dua pelajar Singapura, Nuzulul Qadar Abdullah dan Nor Hidayu Jalaluddin, di atas kejayaan mereka dalam Kejuaraan Debat Universiti-universiti Arab Antarabangsa.

Pertandingan tersebut berlangsung di Doha dari 23 hingga 28 April lalu.

Ia disertai beberapa pasukan dari universiti-universiti Islam antarabangsa, yang antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kededua pelajar Singapura itu mewakili UIAM.

Bersama seorang pelajar Malaysia, pasukan mereka merupakan satu-satunya pasukan dalam pertandingan itu yang terdiri daripada pelajar yang tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda.

Pasukan mereka telah mendapat tempat ketiga, suatu kejayaan yang memberangsangkan.

Saya berpendapat memang patut bagi masyarakat kita berbangga dengan kejayaan seperti itu.

Apa yang dicapai mereka bukan perkara mudah kerana mereka telah menewaskan banyak pasukan daripada universiti Arab yang terkemuka.

Secara langsung, kejayaan itu juga menggambarkan bahawa sistem madrasah kita mempunyai banyak kekuatan sehingga dapat melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global.

Banyak juga pelajar madrasah kita yang mempunyai keyakinan diri, berdedikasi dan berbakat dalam pelbagai bidang.

Sebagai seorang pembimbing (mentor) bagi program Aspire and Achieve through Mentorship (AAM) yang membantu pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ di Madrasah Aljunied, saya telah saksikan sendiri betapa berbakatnya sebahagian pelajar madrasah kita.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tiada sistem pendidikan yang tiada kekurangannya dan ini termasuk sistem madrasah kita.

Namun, janganlah kita butakan mata kita terhadap kebaikan yang wujud di dalam madrasah kita.

Kejayaan Nuzulul dan Nor Hidayu sepatutnya mengajar kita supaya menghormati kebolehan pelajar madrasah tempatan.

Saya juga menyeru kepada media setempat agar menonjolkan kisah-kisah sebegini, supaya dapat dijadikan inspirasi kepada pelajar lain.


____________________________________


Tulisan ini disiarkan di Cyberita Online, pada hari Sabtu 11 Jun 2011

Sudah tiba masa kelebihan pelajar Madrasah dipapar

Muhammad Haikal Mohamed Harun


SAYA merujuk surat Encik Walid Jumblatt, Media diminta tonjolkan bakat pelajar madrasah (BH, 1 Jun).

Saya tertarik dengan pandangan beliau dan bersetuju dengan cadangan agar media setempat memberi lebih ruang menonjolkan bakat pelajar setempat.

Kita semua pasti ingat dan berbangga dengan pencapaian beberapa pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiyah beberapa tahun lalu apabila mereka mengambil bahagian dalam perdebatan dalam bahasa Inggeris yang disiarkan di saluran Inggeris televisyen setempat.

Keberanian mereka tampil dan fasih menggunakan bahasa yang bukan bahasa ibunda mereka adalah sesuatu yang patut kita alu-alukan. Tambahan, ramai juga pelajar madrasah yang mewakili Singapura dalam bahas Titian Minda beberapa tahun lalu.

Ini sesuatu yang harus dibanggakan masyarakat Melayu/Islam Singapura kerana walaupun pelajar madrasah kita tidak sering ditonjolkan di dada-dada akhbar, mereka juga telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Mungkin telah tiba masanya kita mendengar pula kebolehan serta kelebihan para pelajar madrasah yang jarang sekali diketengahkan.

Jika Muhd Dayyan – pelajar Madrasah Al-Irsyad – mampu mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik Belia tahun lalu, saya yakin ramai lagi pelajar madrasah yang tidak kurang hebatnya.

Telah lama kita memberi tumpuan terhadap pencapaian akademik sehingga pencapaian lain tidak dilihat pada ukur tara yang sama.

Dalam era yang semakin berubah, kita seharusnya mengalu alukan pembangunan yang menyeluruh dalam diri setiap pelajar dan ini termasuk pencapaian dalam bidang lain.

Syabas saya ucapkan kepada Nuzulul Qadar Abdullah dan Nor Hidayu Jalaluddin kerana kecemerlangan mereka.

Saya juga berharap kisah sebegini menjadi pemangkin bagi pelajar madrasah agar terus mencapai keunggulan dan seterusnya menjadi kebanggaan masyarakat kita.

Sebagai ahli masyarakat Melayu, saya juga gembira kerana Encik Walid Jumblatt meluangkan masa membimbing pelajar Madrasah Aljunied melalui program ‘Aspire and Achieve through Mentorship (AAM)’ yang membantu pelajar yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’.

Saya berharap lebih ramai anggota masyarakat dapat tampil membantu pelajar madrasah kita baik dari segi keupayaan tenaga membimbing mahupun apa jua cara.

 
Leave a comment

Posted by on 8 July 2011 in Perkongsian

 

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: