RSS

Memohon Syafaat Rasulullaah صلى الله عليه وسلم

27 Apr


بسم الله الرحمن الرحيم




Baru-baru ini, kawan saya berkongsi sebuah link iaitu Utusan Malaysia Online. Terdapat artikel yang menyentuh soal ‘Memohon Syafaat Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam’. Tajuknya pula berbunyi Sahabat mohon syafaat Nabi SAW.


Disclaimer: Perlu diingatkan, tulisan saya ini bukan bertujuan untuk membidas Panel Penyelidikan Yayasan SOFA, Negeri Sembilan, Malaysia. Cuma sekadar ingin memberi penjelasan secara ringkas, bi idznillaah.


Saya secara peribadi berasa bab Memohon Syafaat Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam ini tidak cukup hanya dengan ruangan kecil sebegitu. Orang awam umumnya pasti mudah terkeliru tentang perkara penting ini.




ERTI SYAFAAT

Pertama sekali, apa itu Syafaat?

Syafaat dari sudut istilahnya adalah pengantara bagi seseorang dalam hal mendapat manfaat atau menjauhkan daripada hal mudharat.

Mendapat Manfaat:

Syafaat Nabi Muhammad Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam bagi ahli Syurga supaya masuk ke dalam Syurga.

Menjauhkan Mudharat:

Syafaat Nabi Muhammad Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam bagi mereka yang akan dimasukkan ke dalam Neraka agar terselamat darinya.




JENIS SYAFAAT UTAMA

Secara ringkasnya para ahli Ilmu telah menyebutkan DUA jenis syafaat yang UTAMA:

PERTAMA: Syafaat Khusus bagi Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam.

Di sini terdapat 3 cabang:

1) Syafaat ‘Uzhmah

Syafaat ini merangkumi setiap umat manusia iaitu termasuk umat nabi dan rasul yang lain ketika di Padang Mahsyar. Terdapat banyak hadith yang mutawatir, dan antaranya hadith Anas bin Malik yang panjang.


2) Syafaat Baginda pada Ahli Syurga untuk mendapat izin memasuki Syurga

Apabila selesai perhitungan (hisab) dan berjaya melintasi titian, Ahli Syurga mendapati pintu Syurga tertutup, sehinggalah Baginda memohon syafaat agar dibukakan bagi mereka.


Dalil yang menunjuk hal ini adalah dalam surah az-Zumar, ayat ke 73

Dalam Tafsir Ibn Katsir:

“Di hari akhirat kelak, setiap ahli Syurga yang telah berjaya melepasi titian akan berdiri di depan pintu Syurga. Mereka akan dikumpulkan di suatu tempat  antara Syurga & Neraka, kemudian mereka akan dikhabarkan tentang perbuatan silam mereka di dunia, dan masing-masing mengambil haknya daripada saudaranya . Mereka akan bertanya antara sesama mereka siapakah yg akan memohon pada Allah utk memberi izin mereka masuk Syurga. Setelah disucikan dan dibersihkan, barulah diberi izin dan dibukakan bagi mereka pintu-pintu Syurga (yang lapan itu).


Imam Ibn Katsir menyebutkan mengenai hadith Hudzaifah al-Yamani dan Abu Hurairah:

Mereka akan sekali lagi memohon syafaat dari para Nabi & Rasul seperti mana di padang mahsyar sebelum bermulanya perhitungan, bermula dari Nabi Adam ‘Alaihis Salaam hingga akhir sekali mereka bertemu dengan Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam, dan barulah Baginda memohon syafaat utk diberi izin ahli syurga masuk.”

Apa tujuan Syafaat ni?

“ Agar memperlihatkan kemuliaan Nabi Muhammad Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam atas sekalian manusia yang lainnya.”


Hadith Anas bin Malik: Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:


آتي باب الجنّة يوم القيامة فأستفتح, فيقول الخازن: من أنت؟ فأقول: محمد. فيقول: بك أُمِرتُ أن لا أفتح لأحد قبلك



Maksudnya: “Pada hari kiamat, aku mendatangi pintu Syurga dan meminta agar ianya dibuka. Maka berkata penjaga pintu: Siapakah engkau? Aku menjawab:  Muhammad. Lalu ia berkata: Demikianlah aku diutuskan agar tidak membukanya bagi sesiapa pun sebelum kamu.”
-Riwayat Muslim


3) Syafaat Baginda pada bapa saudaranya Abu Talib agar diringankan siksaannya

Abu Talib pernah membantu dan membela Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam, maka diberi keizinan agar diringankan azabnya.




KEDUA: Syafaat Umum bagi Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam dan sekalian orang Mu’min.

Di sini juga terdapat 3 cabang:

1) Syafaat bagi mereka yang akan dimasukkan ke dalam Neraka agar terselamat darinya.

Hadith Ibn ‘Abbas: Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:


مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِم يموت فيقوم على جنازتِه أربعون رجلاً لا يُشرِكونَ بالله شيئًا إِلاّ شَفَّعَهُمْ اللَّهُ فِيهِ



Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu ada empat puluh orang yang mendirikan solat jenazah baginya, yang mana mereka itu tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan Allah akan mengabulkan permohonan syafaat mereka untuk jenazah tersebut.”

-Riwayat Muslim


2) Syafaat bagi mereka yang telah dimasukkan ke dalam Neraka agar dikeluarkan darinya.

Dalilnya adalah dalam surah Toha, ayat ke 109


3) Syafaat bagi orang mu’min agar dinaikkan darjat dan ganjarannya.

Dalilnya sama seperti hadith di atas, hadith Ibn ‘Abbas.




PERKARA BERKAITAN SYAFAAT

Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui dalam bab Syafaat ini, secara umumnya ada TIGA:

1- Hanya Allah s.w.t sahaja yang memiliki syafaat yang mutlak.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-An’aam ayat 51:


قال الله تعالى: وأنذر به الذين يخافون أن يحشروا إلى ربّهم ليس لهم من دونه من وليّ ولا شفيع لعلّهم يتّقون



Maksudnya: “Dan berilah peringatan dengan apa yang diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan dihimpunkan kepada Tuhannya (pada hari Qiyaamah), sedang bagi mereka tidak ada seorang pelindung dan pemberi syafa’at pun selain daripada Allah, agar mereka bertaqwa.”


Di dalam Tafsir Ibn Katsir:

“Allah s.w.t memerintahkan Nabi Muhammad Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam agar memberi peringatan kepada orang-orang beriman yang takut pada hari kebangkitan dengan peringatan dari al-Qur’an, bahawa pada hari itu tidak ada satupun pendamping atau pemberi Syafa’at daripada azab (keperitan dan kesusahan di Padang Mahsyar) kecuali Allah s.w.t.”

Nabi Muhammad Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam dan orang-orang mu’min harus memohon daripada Allah s.w.t, dan tidak ada siapa yang boleh mengabulkan syafaat selain Allah s.w.t.


2- Hanya dengan izin Allah s.w.t sahaja seseorang boleh memberi syafaat kepada orang lain.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 255:


قال الله تعالى: من ذا الذي يشفع عنده إلاّ بإذنه



Maksudnya: “Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izinNya.”


Mereka yang diberi izin untuk memohon syafaat adalah Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam dan orang-orang mu’min seperti orang yang menghafal al-Qur’an sepenuhnya dan lain-lain.


3- Hanya orang yang diredhai Allah s.w.t sahaja yang berhak menerima syafaat.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 28:


قال الله تعالى: ولا يشفعون إلاّ لمن ارتضى



Maksudnya: “Dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah.”


Orang yang layak menerima syafaat adalah mereka yang benar-benar mentauhidkan Allah s.w.t dalam i’tiqad dan amal sholeh mereka tanpa menyekutukan dengan makhluk lain.




SAHABAT MEMOHON SEMASA HAYAT BAGINDA

Di dalam artikel tersebut, penulis ada memberikan dalil-dalil contoh yang memang thabit iaitu benar bahawa para sahabat memohon syafaat daripada Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam. Namun, harus difahami bahawa sahabat memohon syafaat semasa hayatnya Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam.

Setelah wafatnya Baginda Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam, tidak ada dalil yang thabit menunjukkan bahawa para Sahabat memohon syafaat daripada Baginda. Para Sahabat amat memahami perkara ini dengan baik, lantas Baginda tidak perlu menyebut kata-kata larangan dengan jelas. Ini kerana sepanjang hayatnya Baginda telah berkali-kali menegaskan bahawa segala permintaan iaitu doa haruslah dipanjatkan kepada Allah s.w.t, Tuhan yang sentiasa hidup dan tidak akan pernah mati; Tuhan yang Maha Mendengar segala doa; Tuhan yang mampu mengabulkan setiap doa.

Doa  merupakan sebuah ibadah, dan ianya hanya ditujukan kepada Allah s.w.t kerana tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia. Perbuatan memohon syafaat di dunia ini juga dianggap doa. Dari itu, ianya tidaklah boleh disebut dalam bentuk lafaz “ya Rasulallaah, syafaatkanlah aku..”. Sebaiknya, seorang berdoa: “Ya Allah, perkenankanlah bagiku di akhirat kelak Syafaat Nabi Muhammad, Amin.”




BAGAIMANAKAH NASIB KITA?

Pada hari akhirat di padang Mahsyar kelak, semua makhluk akan dikumpulkan; manusia, jin, malaikat dan juga haiwan. Semuanya dibawa menghadap Allah s.w.t yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung. Hari itu adalah merupakan hari yang sangat dahsyat. Keadaan akan menjadi kocar-kacir. Masing-masing akan menderita ketakutan mengenangkan nasib mereka, sama ada berakhir dengan menikmati ganjaran Syurga atau sebaliknya mendapat balasan siksaan Neraka.

Maka pada ketika itu, manusia akan mencari siapa yang mempunyai kemuliaan di sisi Allah s.w.t yang boleh dijadikan perantaraan supaya memohon syafaat kepadaNya agar dipercepatkan, dipermudahkan dan diselesaikan dari perhitungan yang lamanya lima puluh ribu tahun!

Hanya Nabi Muhammad Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam yang akan memohon kepada Allah s.w.t agar diringankan penderitaan sekalian manusia di padang Mahsyar.


Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith dari Abu Hurairah Radhiyallaahu ‘Anhu, bahwa Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam bersabda:

“Setiap nabi mempunyai doa yang dikabulkan, semua nabi telah menggunakannya di dunia, dan aku ingin menyimpan doaku tersebut sebagai syafa’at bagi umatku pada hari kiamat, ia boleh diperolehi insya Allah bagi sesiapa yang mati dari kalangan umatku yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”


Semoga Allah s.w.t menganugerahkan kepada kita semua syafaat Baginda Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam di akhirat kelak. Amin.


Wallaahu a’lam.

 
4 Comments

Posted by on 27 April 2011 in Singapura

 

Tags: , , , , , ,

4 responses to “Memohon Syafaat Rasulullaah صلى الله عليه وسلم

  1. saifudin Al-Banggoli

    14 October 2011 at 11:03 am

    Assalamualaikum,Ust..
    mohon perkongsian dari ustaz,berkaitan hadis di bawah ini..
    agak panjang sedikit…
    moga2 ust sudi..

    وروى البخاري ومسلم والترمذي عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : ” كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم في دعوة ، فرفع إليه الذراع – وكانت تعجبه – فنهس منها نهسة ،

    وقال : أنا سيد الناس يوم القيامة ، هل تدرون : مم ذاك ؟ يجمع الله الأولين والآخرين في صعيد واحد ، فيبصرهم الناظر ، ويسمعهم الداعي ، وتدنو منهم الشمس ، فيبلغ الناس من الغم والكرب ما لا يطيقون ولا يحتملون ،
    فيقول الناس : ألا ترون إلى ما أنتم فيه ، إلى ما بلغكم ، ألا تنظرون من يشفع لكم إلى ربكم ؟ فيقول بعض الناس لبعض : أبوكم آدم .

    فيأتونه ، فيقولون : يا آدم ، أنت أبو البشر ، خلقك الله بيده ، ونفخ فيك من روحه ، وأمر الملائكة فسجدوا لك ، وأسكنك الجنة ، ألا تشفع لنا إلى ربك ، ألا ترى ما نحن فيه وما بلغنا ؟ فقال : إن ربي غضب اليوم غضباً لم يغضب قبله مثله ، ولا يغضب بعده مثله ، وإنه نهاني عن الشجرة فعصيت ، نفسي ، نفسي ، نفسي ، اذهبوا إلى غيري ، اذهبوا إلى نوح

    . فيأتون نوحاً ، فيقولون : يا نوح ، أنت أول الرسل إلى أهل الأرض ، وقد سماك الله عبداً شكوراً ، ألا ترى ما نحن فيه ؟ ألا ترى إلى ما بلغنا ؟ ألا تشفع لنا عند ربك ؟ فيقول : إن ربي غضب اليوم غضباً لم يغضب قبله مثله ، ولن يغضب بعده مثله ، وإنه قد كان لي دعوة دعوت بها على قومي ، نفسي ، نفسي ، نفسي ، اذهبوا إلى إبراهيم .

    فيأتون إبراهيم ، فيقولون : أنت نبي الله ، وخليله من أهل الأرض ، اشفع لنا إلى ربك ، أما ترى ما نحن فيه ؟ فيقول لهم : إن ربي غضب اليوم غضباً لم يغضب قبله مثله، ولن يغضب بعده مثله ، وإني كنت كذبت ثلاث كذبات .. فذكرها ، نفسي ، نفسي ، نفسي اذهبوا إلى غيري ، اذهبوا إلى موسى .

    فيأتون موسى فيقولون : أنت رسول الله ، فضّلك برسالاته وبكلامه على الناس ، اشفع لنا إلى ربك ، أما ترى إلى ما نحن فيه ؟ فيقول : إن ربي قد غضب اليوم غضباً لم يغضب قبله مثله ، ولن يغضب بعده مثله ، وإني قد قتلت نفساً لم أومر بقتلها ، نفسي ، نفسي ، نفسي ، اذهبوا إلى غيري ، اذهبوا إلى عيسى .

    فيأتون عيسى فيقولون : أنت رسول الله وكلمته ألقاها إلى مريم ، وروحٌ منه ، وكلمت الناس في المهد ، اشفع لنا إلى ربك ، ألا ترى ما نحن فيه ؟ فيقول عيسى : إن ربي قد غضب اليوم غضباً لم يغضب قبله مثله ، ولن يغضب بعده مثله ، ولم يذكر ذنباً ، نفسي ، نفسي ، نفسي ، اذهبوا إلى غيري ، اذهبوا إلى محمـد .

    فيأتون محمداً صلى الله عليه وسلم – وفي رواية : فيأتوني – فيقولون : يا محمد ، أنت رسول الله وخاتم الأنبياء ، قد غفر الله لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر ، اشفع لنا إلى ربك ، ألا ترى إلى ما نحن فيه ؟

    فأنطلق ، فآتي تحت العرش ، فأقع ساجداً لربي ، ثم يفتح الله عليَّ من محامده وحسن الثناء عليه شيئاً لم يفتحه على أحد قبلي ، ثم يقال : يا محمد ، ارفع رأسك سل تعطه ، واشفع تشفع ، فأرفع رأسي ، فأقول : أمتي يا رب ، أمتي يا رب ، أمتي يا رب ، فيقال : يا محمد ، أدخل من أمتك من لا حساب عليهم من الباب الأيمن من أبواب الجنة ، وهم شركاء الناس فيما سوى ذلك من الأبواب ، ثم قال : والذي نفسي بيده ، إن ما بين المصراعين من مصاريع الجنة ، كما بين مكة وهجر – أو كما بين مكة وبصرى – وفي كتاب البخاري . كما بين مكة وحمير . وفي رواية قال : ” وضعت بين يدي رسول الله صلى الله عليه وسلم قصعة من ثريد ولحم ، فتناول الذراع – وكانت أحب الشاة إليه – فنهس نهسة ، فقال : أنا سيد الناس يوم القيامة ، ثم نهس أخرى ، فقال : أنا سيد الناس يوم القيامة ، فلما رأى أصحابه لا يسألونه ، قال : ألا تقولون : كيفه ؟ قالوا : كيفه يا رسول الله ؟ قال : يقوم الناس لرب العالمين ..

     
  2. Abu Raiyan

    4 November 2011 at 3:48 am

    Wa’alaikumussalaam wr wb. ‘afwan saudara, pertamanya, saya bukan seorang ustaz. Keduanya, sebaiknya ditujukan perkara ini pada yang ahlinya. Ketiganya, tulisan saya di blog ini hanya sebagai pedoman ringkas sahaja.

    Sekiranya saudara inginkan penjelasan atau perkongsian mengenai hadith di atas ini, harap dapatlah merujuk kepada seorang yang ‘alim, yang mampu memberikan penerangan yang terperinci bertepatan dengan pemahaman para salaf-us sholeh. wallaahu a’lam.

     
  3. siti muslimah

    20 December 2012 at 9:30 pm

    syukran ya akhi…

     
    • Abu Raiyan

      20 December 2012 at 11:08 pm

      Semoga Allah memberkati anda..

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: