RSS

Tak Kaya Tak Boleh Beramal?

06 Apr

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

 

 

Tahukah anda, kita tidak perlu menjadi kaya untuk beramal?

 

Ramai orang melihat sekiranya seorang itu kaya, maka dia boleh bersedekah lebih dengan hartanya itu dan mendapat pahala yang lebih juga.

 

Hakikatnya, itu adalah benar. Namun, janganlah kita lupa bahawa seorang yang sederhana hartanya juga boleh mendapatkan pahala yang sama seperti mereka yang bersedekah lebih itu.

 

Kita “bersedekah” ilmu atau idea yang baik!

Dengan syarat..ikhlas dan bertepatan dengan syariat Islam.

 

Dari Anas bin Malik Radhiyallaahu ‘Anhu berkata: telah bersabda Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam: “Sesungguhnya orang yang menunjukkan (orang lain) ke arah kebaikan adalah sama dengan pelaku kebaikan itu.”

– Riwayat at Tirmidzi

 

Pada bulan march yang lalu, saya dan beberapa rakan dijemput oleh Dr. Abdullah bin Mohammed bin Abdul Aziz Al Shathry ke Riyadh untuk menghadiri sebuah majlis penghargaan anjuran Waqaf Al Rajhi. Sebagai pengenalan, Dr. Abdullah adalah ketua Waqaf Al Rajhi. Waqaf itu pula adalah cabang daripada bank Al Rajhi berpangkalan di Saudi Arabia yang merupakan antara bank-bank Islam yang terkaya di dunia.

 

Kami dibawa ke sebuah restoran untuk makan malam. Di situ, Dr. Abdullah menceritakan serba sedikit tentang sejarah waqaf yang terkaya di dunia itu. Pengasas waqaf tersebut ialah Syeikh Saleh bin Abdul Aziz Al Rajhi. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang buta huruf, tetapi itu tidak menghalangnya menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya raya.

 

Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah Syeikh Saleh itu dikatakan amat rapat dengan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz Rahimahullaah.

 

Diceritakan, Syeikh Saleh ini adalah seorang yang tidak kenal erti bakhil. Pernah suatu ketika beliau menghadiri kelas Syeikh Ibn Baaz dan memberikan wang puluhan ribu sebagai hadiah dan tanda kasihnya pada Syeikh. Syeikh Ibn Baaz kemudiannya memberikan hadiah itu kepada anak-anak murid yang menghadiri kelasnya pada hari tersebut.

 

Suatu hari Syeikh Saleh sedang duduk bersembang bersama Syeikh Ibn Baaz. Beliau menyatakan hasratnya untuk membantu masjid-masjid dan badan-badan Islam dari segi kewangan. Dipendekkan cerita, Syeikh Ibn Baaz lalu memberikan saranan supaya membuka sebuah badan perwakafan bagi hartanya untuk merealisasikan niatnya itu, kerana harta waqaf akan berterusan pahalanya walaupun si pewakaf telah meninggal dunia.

 

Syeikh Ibn Baaz mengingatkan bahawa waqaf adalah perkara yang sering dipandang remeh, padahal Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam sendiri pernah melakukannya dan mengajarkannya. Bertitik dari perbualan itu, maka ditubuhkanlah Waqaf Al Rajhi. Pada awal perwakafan itu Syeikh Saleh meletakkan sebahagian hartanya berjumlah SR180 billion, dan manfaatnya amatlah luas. Hasilnya masih lagi jelas kelihatan hingga kini.

 

Nah, idea Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz Rahimahullaah itulah punca amal yang baik itu. Saya juga bukanlah seorang yang memiliki harta yang banyak. Namun, sekiranya saya dapat memberikan saranan kepada ahli perniagaan muslim yang kaya raya diluar sana, di mana pun jua mereka, waqafkanlah sebahagian harta anda ke jalan Allah! 🙂

 

Dan mereka yang belum berkemampuan untuk berwaqaf pula, sumbangkanlah idea yang bernas pada jalan kebaikan, duniawi mahupun ukhrawi. Allah s.w.t itu Maha Adil, Dia tidak memberi kesemua nikmat itu pada seorang hamba. Mungkin seorang itu kaya, tetapi tidak tahu bagaimana dan ke arah mana dia boleh menyumbang. Mungkin juga seorang itu bijak pandai dan berilmu, tetapi hartanya tidak mencukupi untuk merealisasikan cetusan ideanya. Maka, adalah baik sekiranya digandingkan keduanya untuk mencapai matlamat yang satu iaitu beramal pada jalan Allah.

 

Wallaahu a’lam

 

 
Leave a comment

Posted by on 6 April 2011 in Madinah

 

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: