RSS

“Duit hantaran papar nilai bakal suami”

27 Mar


بسم الله الرحمن الرحيم



Saya amat tertarik dengan tajuk forum yang berbunyi ‘Duit hantaran papar nilai bakal suami’ yang disiarkan di Cyberita Singapura. Mana tidaknya, tajuk itu sangat dekat dengan diri saya kerana masih single🙂


Di bawah adalah pandangan saya terhadap isu hantaran ini, dan ingin saya tekankan, sekiranya anda pembaca ingin meneruskan membaca tulisan ini adalah diharapkan dapat membaca dahulu artikel forum tersebut di bawah ini.

_______________________________________________


6 Mac 2011, Forum BH

SAYA ingin mengulas berkaitan isu mas kahwin dan perbelanjaan bagi majlis perkahwinan.

Pada pendapat saya, anak muda yang enggan berkahwin atau melewatkan perkahwinan mereka dan isu perceraian tidak harus dikaitkan dengan wang hantaran.

Memang wang hantaran kini dianggarkan mencecah purata $8,000. Tetapi kita mesti ingat jumlah itu sebenarnya tidaklah terlalu tinggi pada masa sekarang.

Islam menggalakkan kita berusaha mendapatkan apa yang kita kehendaki dan ini sama juga dengan perkahwinan. Jika seseorang lelaki ingin berkahwin, orang itu haruslah berusaha mencapai matlamat ini, termasuk dari segi kewangan. Usahlah ambil mudah tentang perkara ini.

Jika sekadar wang hantaran pun mereka tidak mampu atau tidak dapat mengadakannya, bagaimana mereka hendak menampung belanja keluarga mereka kelak?

Tentang majlis perkahwinan, saya berpendapat itu terpulang pada kemampuan keluarga sama ada mahu melakukannya secara besar-besaran ataupun dengan sederhana.

Janganlah perihal wang hantaran dijadikan sebab golongan lelaki ingin mengambil kesempatan. Mereka harus memikirkan tanggungjawab mereka setelah berkahwin kelak.

Fauziah Selamat


_______________________________________________


(‘disclaimer’: saya tidak bermaksud mengkritik penulis berkenaan, atau menisbatkan isu itu keatas dirinya.)


Isu lapuk yang berulang

Isu hantaran terlalu tinggi ini bukanlah suatu isu yang baru, malah ianya telah wujud lebih 10 tahun kebelakang. Ramai yang telah memberikan pandangan mereka. Tidak kurang juga ramai yang menelitinya dari sudut ekonomi dan kesannya dalam masyarakat. Namun, amat sedikit sekali yang menyentuh tentang bagaimanakah jalan keluar yang terbaik yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi isu tersebut.


Seorang mungkin boleh berkata:

“Hantaran adalah harus. Bagi seorang jejaka, sekiranya dia mahu berkahwin, harus memberikan hantaran dengan kadar yang ditetapkan. Jika tidak mampu, dia harus usahakan untuk menyediakannya. No hantaran, no nikah!”


Seorang lagi pula berkata:

“Ibubapa sekarang ini apa nak jadi.. meletakkan hantaran itu sebagai ‘tag harga’ pada anak perempuan mereka. Ini nak kahwinkan anak ke nak berniaga anak?”


Dan lagi satu pula:

“Ini semua adalah adat semata. Ianya tidak dituntut dalam agama. Sebaiknya kita ikut apa yang dianjurkan dan diajarkan Islam.”


Ketiga-tiga baris kata di atas itu yang biasa kita dengar dari orang-orang di luar sana. Namun, manakah diantara ketiga-tiganya itu yang sebenarnya memberikan solusi yang terbaik?



Dalam al-Qur’an, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah an-Nisaa’ ayat 59:


قال تعالى: يا أيّها الذين آمنوا أطيعوا الله و أطيعوا الرّسول وأولى الأمر منكم فإن تنازعتم في شيء فردّوه إلى الله والرّسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر ذلك خير وأحسن تأويلا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”


Seorang Muslim, yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, akan kembali merujuk kepada agama sekiranya terdapat sesuatu kekusutan atau masalah.


kerana apa…?


“yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”


Ia adalah pesanan dari Allah s.w.t.


Jadi, bagaimana kita kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah?


Nanti dulu.. tidak perlu tergesa-gesa. Saya ingin menegaskan mengapa agama lah jalan terbaik dalam menyelesaikan atau setidak-tidaknya meredakan dua orang yang berselisih pandangan.


Soal hantaran ini, ia melibatkan wang. Tak usah melihat jumlahnya tinggi atau rendah. Selagi mana suatu urusan itu berkaitan wang, maka pasti ada sebahagian pihak yang berasa tidak puas hati. Demikianlah fitnah dunia. Manusia saling bermusuhan, bahkan sehingga sanggup membunuh kerana wang.


Saya berikan satu senario:


Pihak perempuan yang meletakkan hantaran tinggi dalam ‘package’ pernikahan mengatakan kepada pihak lelaki:

“Alah, kalau dah tak mampu nak sediakan duit hantaran, buat apa sibuk nak bernikah? Kalau hantaran sudah terkial..apa lagi menyara kehidupan nanti?”


Pihak lelaki itu pula kemudian menjawab:

“Kamu tidak patut meletakkan jumlah tinggi..Kalau mahu duit untuk cover belanja majlis, cakap saja. Belanja ikut mana yang mampu saja lah. Tak perlu beralasankan ‘kalau hantaran sudah terkial..apa lagi menyara kehidupan nanti’…”


Perselisihan itu mungkin berterusan dan tidak mencapai sebarang solusi sehingga akhirnya kedua bakal itu terpaksa melupakan sahaja hajat murni mereka akibat kedua belah pihak hanya ingin memenangkan ego masing-masing, dan lebih mengejarkan keduniaan.


Namun..

Sekiranya diberikan secebis nasihat, mungkin keadaan boleh menjadi jernih.


Pihak perempuan:“Alah, kalau dah tak mampu nak sediakan duit hantaran, buat apa sibuk nak bernikah? Kalau hantaran sudah terkial..apa lagi menyara kehidupan nanti?”

Pihak lelaki:“Soal hantaran ini kami boleh usahakan, dan mungkin memakan masa. Tapi..yang kami fikirkan adalah keberkatan akad nikah dan perkahwinan anak kami, kerana ianya sudah jauh dari apa yang dianjurkan Nabi kita, iaitu bersederhana mengikut kemampuan. Bahkan Nabi melarang perbuatan melampaui batas.”


Orang yang beriman pasti akan tersedar dari kesilapannya apabila ditegur dengan peringatan daripada sisi Allah s.w.t dan RasulNya Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam. Namun, sekiranya seorang itu tidak mengendahkah kata-kata nasihat seperti itu, maka berkemungkinan besar kedua keluarga itu tidak akan dapat disatukan dengan baik.


Dari Abu Hurairah Radhiyallaahu ‘Anhu bahawa Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam pernah bersabda:

“Di nikahi seorang wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka rebutlah perihal agama (yang ada padanya) maka beruntunglah kedua tangan kamu.”

-Riwayat Imam al Bukhari dan Muslim


Bagaimana kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah?

Syeikh Muhammad Bin Sholeh al-‘Uthaimeen pernah berkata:

استدل ثم تعتقد ولا تعتقد ثم تستدل, فتضل


Maksudnya: Carilah dalil kemudian beri’tiqad dengannya, dan janganlah kamu beri’tiqad kemudian mencari dalilnya, maka kamu akan tersesat.

Eritnya, haruslah dicari dalil berkenaan suatu perkara di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah sebelum kita beri’tiqad iaitu berpegang dengannya. Tidaklah boleh kita berpegang dengan suatu pegangan kemudian baru mencari dalil untuk menyokong pegangan itu tadi.

Kenapa harus sedemikian rupa?

Pendirian, keinginan dan perbuatan kita haruslah berpandukan DUA dasar agama yang diletakkan Allah s.w.t dan RasulNya Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam, kerana sekiranya tidak, maka dikhuatiri pendirian, keinginan dan perbuatan kita itu dipandu oleh hawa nafsu yang sering berbisik kearah kejahatan.


Perkahwinan

Mari kita sama-sama lihat perkahwinan dari kaca mata Islam secara ringkas.


1) Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah.

Ia adalah dari sunnah Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh seorang sahabat bernama Anas bin Malik Radhiyallaahu ‘Anhu, dia berkata:

Suatu ketika datang tiga sekumpulan orang ke rumah isteri-isteri Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam untuk bertanyakan amal ibadah Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam. Maka setelah diberitahu seakan-akan mereka melihat amalan (Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam) itu sedikit, lalu mereka berkata: di manalah kami sekiranya hendak dibandingkan dengan Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam, Allah telah mengampunkannya dari segala dosa yang telah lalu dan yang akan datang.

Maka salah seorang dari mereka berkata: Aku (berazam) untuk solat malam selama-lamanya.

Berkata seorang lagi: Aku pula (berazam) untuk berpuasa dan tidak berbuka,

dan yang terakhir pula berkata: Aku akan menjauhkan diri dari mana-mana wanita, dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.

Maka Baginda Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam pun bersabda:

Apakah kalian yang berkata (ingin mengerjakan) ini dan itu? Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang paling takut dan bertaqwa di antara kalian kepada Allah, tetapi aku berpuasa dan aku juga berbuka, aku berjaga untuk solat malam dan aku juga tidur, dan aku juga mengahwini wanita. Maka barangsiapa berpaling dari sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku.”

-Riwayat Imam al Bukhari


2) Perkahwinan adalah digalakkan bagi mereka yang tidak beristeri atau tidak bersuami.

Dalam surah an-Nur, ayat ke 32 yang bermaksud:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian(*) di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan.”


(*) hendaklah laki-laki yang belum kahwin atau wanita-wanita yang tidak bersuami, dibantu agar mereka dapat berkahwin.

Imam Ibn Katsir di dalam kitab tafsirnya menyebut: lelaki dan perempuan yang belum beristeri atau bersuami, dan juga lelaki dan perempuan yang pernah berkahwin kemudian bercerai.


3) Perkahwinan juga digalakkan bagi mereka yang sudah berkemampuan untuk bernikah.

Diriwayatkan dari ‘Abdullaah bin Mas’ud Radhiyallaahu ‘Anhu bahawa Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam telah bersabda:

“Wahai sekalian pemuda, barangsiapa dari kalian yang berkemampuan untuk bernikah, maka lakukanlah kerana sesungguhnya ia lebih dapat menundukkan pandangan dan lebih dapat memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya ia adalah perisai baginya.”

-Riwayat Imam al Bukhari & Muslim.



Jadi, apakah sebenarnya perkara yang diinginkan pasangan suami isteri dalam sebuah perkahwinan? Dan apakah sebenarnya yang diharapkan kedua-dua ibubapa pengantin dari perkahwinan kedua anakanda mereka?


Tema majlis yang gah? Persandingan luar biasa? Koleksi baju pengantin yang eksklusif?


Apakah perkara yang seharusnya menjadi tumpuan dan tujuan, perkahwinan itu sendiri atau apa yang datang setelah perkahwinan?


قال تعالى: ومن أياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودّة ورحمة إنّ في ذلك لأيات لقوم يتفكّرون

21 :سورة الروم

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Surah ar Rum, ayat 21


Tujuan sebuah perkahwinan adalah agar kedua suami isteri itu saling mencukupkan di antara satu dengan yang lain. Kelebihan isteri akan menutup ruang kekurangan si suami, dan begitu juga sebaliknya. Perkahwinan menjadikan mereka hamba Allah yang lebih bersemangat dan kuat bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ikatan yang mendapat keredhaanNya, akan dihujani keberkatan dan suntikan rasa kasih dan sayang.



Cuba kita fikirkan, bagaimanakah kedua suami isteri itu dapat berasa tenteram sedangkan soal hantaranlah punca keluarga mereka terluka semasa perancangan awal dahulu?


Hantaran & Mahar

Di dalam adat melayu, kita mempunyai mas kahwin dan juga hantaran. Namun, haruslah diutamakan perkara yang ‘mesti’ (wajib) daripada perkara yang ‘dibolehkan’ (mubaah). Mahar atau Mas Kahwin merupakan perkara wajib dalam pernikahan.

قال تعالى: وأتوا النساء صادقاتهنّ نحلة

سورة النساء, أية: 4

Maksudnya: “Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.”

Surah an Nisaa’, ayat: 4


Manakala hantaran pula hanya dianggap hibah atau hadiah pemberian. Namun, di dalam adat melayu di Singapura ianya seakan menjadi ‘wajib’ dalam pernikahan.


Dari ‘Abdullaah bin ‘Abbaas dan ‘Abdullaah bin ‘Umar Radhiyallaahu ‘Anhum, bahawa Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam telah bersabda:

Tidaklah dihalalkan bagi seseorang yang memberi suatu pemberian (hibah) atau menghadiah sebuah hadiah kemudian dia memintanya semula, kecuali bagi seorang bapa (meminta semula) pada anaknya apa yang telah diberikannya itu.”

-Riwayat Imam Abu Daud, Tirmidzi, an Nasa-i.


Daripada hadith di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa hantaran adalah dikira hadiah pemberian dari pihak si suami kepada pihak si isteri.


Hadiah pemberian kebiasaannya tidak diletakkan sebarang syarat kerana ia sebagai tanda seorang itu amat menghargai orang yang diberi hadiah tersebut. Namun, dalam persoalan hantaran ini, ia merupakan sebahagian daripada adat melayu. Adat yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam boleh diamalkan selagi mana tidak melampaui batas.


Melampaui batas itu yang macam mana?


Hantaran yang dianggap melampaui batas adalah apabila..:


‘bakal suami terpaksa menundakan lebih lama pernikahan kerana belum mencukupi kadar jumlah hantaran.’


‘bakal suami berasa terbeban lantas tidak ikhlas dalam pemberiannya.’


‘bakal suami terpaksa berhutang semata-mata kerana hantaran.’


‘ kadarnya diletakkan mengikut ‘market price’ terkini.’


‘pihak wanita masih tetap dengan kadar jumlah tinggi sedangkan bakal suami tidak mampu.’


‘risau dan malu sekiranya hantaran itu sedikit jumlahnya dan akan menjadi buah mulut orang.’


‘ timbul rasa menunjuk-nunjuk (riya’) dan meninggi diri (takabbur) dalam diri kedua pihak dengan hantaran yang tinggi.’


..dan lain-lain lagi.



Ketahuilah, Allah s.w.t tidak suka kepada setiap perkara yang melampaui batas.

قال تعالى: يا أيّها الذين آمنوا لا تحرّموا طيّبات ما أحلّ الله لكم ولا تعتدوا إنّ الله لا يحبّ المعتدين

سورة المائدة أية: 87

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Surah al Maidah, ayat : 87


Antara perkara yang harus diambil kira adalah soal maksiat dan dosa yang mungkin timbul atau berterusan sekiranya perkahwinan itu diberatkan dengan kemestian mengadakan hantaran yang tinggi. Keluar sahaja dari rumah, kita dapat melihat sepasang ‘kekasih’ muslim berjalan berpegangan dan berpimpinan tangan. Itu yang nyata, tetapi yang tersembunyi Allah sahaja yang tahu.


Kerisauan itu wajar

Adalah wajar bagi sang ibu untuk memastikan masa depan anak puterinya, yang bakal dilepaskan ke tangan seorang lelaki yang ingin memperisterikan anaknya itu, terjamin. Adalah wajar juga bagi sang ibu itu berasa selesa dan yakin bahawa anak puteri, yang dijaganya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab itu, mendapat seorang suami seperti suaminya, dia mampu menyara dan membiayai kehidupan setelah menikah, hinggalah pada waktu menimang cahaya mata, dan begitulah seterusnya menampung perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya.


Segala bentuk kerisauan itu adalah perkara lumrah. Tanyalah kepada mereka yang bergelar ibu di Singapura secara khususnya, pasti akan disentuh persoalan kewangan. Hatta mereka yang bergelar bapa juga pasti akan memikirkan perkara yang sama. Ibu bapa itu sudah lebih awal lagi menempuh alam berumahtangga dan lebih mula kenal erti pengorbanan yang perlu diberikan sepasang suami isteri, lebih-lebih lagi berkaitan persoalan kewangan.


Cuma mereka mungkin terlupa satu ketika dahulu mereka juga pernah berada pada tahap persiapan berumahtangga. Ketika itu segalanya penuh dengan ketidak pastian. Soal rezeki, tidak ada siapa boleh menentukan dan menjaminnya. Selama mana manusia itu berusaha mendapatkan rezeki, selagi itu Allah tidak akan mensia-siakannya.


قال تعالى: إنّ ربّك يبسط الرزق لمن يشاء و يقدر إنّه كان بعباده خبيرا بصيرا 0 ولا تقتلوا أولادكم خشية إملاق نحن نرزقهم وإيّاكم إنّ قتلهم كان خطئا كبيرا

سورة الإسراء أية: 30-31

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya. Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

-Surah al Israa’, ayat 30-31


Hantaran merupakan salah satu perkara penting dalam adat istiadat melayu. Kedua belah pihak haruslah berunding tentang kadar hantaran yang sesuai mengikut kemampuan pihak lelaki. Pada peringkat awal ini, mereka perlu untuk mendapatkan kata sepakat agar perhubungan antara keduanya dapat bermula dengan baik dan diberkati Allah s.w.t.


Antara jalan keluar

Akhir kata, saya melihat jalan terbaik adalah mengalah. Tidak harus diikutkan ego. Saya lebih cenderung dengan pandangan bahawa tidak ada masalah untuk mengadakan hantaran, selagi mana ianya tidak melampaui batas, iaitu melebihi dari kemampuan pihak lelaki untuk memberinya sehingga membebankan. Namun, jika pihak lelaki itu merupakan seorang tauke kedai emas dan mahu menghadiahkan lebih, maka terpulang baginya, selama mana tidak timbul dalam diri perasaan menunjuk-nunjuk (riya’).


Kita perlu bersikap realistik. Kos perbelanjaan majlis persandingan yang sederhana di Singapura mencecah puluhan ribu dolar. Itu tidak dapat dinafikan. Atas dasar bantu membantu, anggap sahaja wang hantaran itu adalah sebagai hadiah untuk membantu meringankan keluarga bakal mertua.



Sekali lagi perlu ditekankan, ego itu harus diletakkan di dalam kotak hitam dan simpan di dalam bilik ‘store’. Tak usah mempedulikan kata-kata orang di sekeliling. Mereka hanya mampu berkata. Setelah penat, mereka akan berhenti. Dari itu, tidak perlu dirisaukan tentang majlis atau maruah keluarga akan tercemar. Akan tetapi, risaulah sekiranya majlis itu jauh dari keberkatan Allah s.w.t, bahkan lebih teruk, mengundang murkaNya pula.


Semoga Allah s.w.t memudahkan urusan bakal-bakal di luar sana yang telah menyatakan hasrat untuk bernikah, dan yang sedang merancang majlis perkahwinan, serta tidak lupa juga mereka yang sedang berusaha sedaya upaya menyara keluarga yang baru dibina dengan mencukupkan segala yang diperlukan. Amin.


Dari ‘Aisyah, Ummul Mu’minin, Radhiyallaahu ‘Anhaa berkata bahawa Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam bersabda:

“Adalah paling besar keberkatannya wanita yang paling rendah penyaraan hidupnya.”

-Riwayat Imam Ahmad.


Wallaahu a’lam.


🙂


 
1 Comment

Posted by on 27 March 2011 in Singapura

 

Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,

One response to ““Duit hantaran papar nilai bakal suami”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: