RSS

Nilai Sebuah Buku

30 Dec

بسم الله الرحمن الرحيم



Anda seorang pelajar? penuntut?


Sekiranya ya, tulisan ini mungkin dapat memberi anda sedikit manfaat, insya Allah.


Saya kini berada di penghujung tahun 2 di Fakulti Da’wah dan Usuluddin. Semuanya sedia maklum bahawa seorang penuntut pasti menempuhi saat yang paling mendebarkan ketika berada di hujung semester.


Ya benar, peperiksaan.


Boleh jadi peperiksaan itu dijadualkan bermula lagi sebulan atau mungkin kurang. Namun, bahangnya yang kuat sudah dapat dirasai.


Bagi saya, yang menggerunkan bukanlah peperiksaan itu sendiri, tetapi persiapan untuk menempuhnya yang membuatkan saya seolah tidak lagi mampu menikmati senyuman tatkala Sang Mentari menerpa ke muka.


Bila ianya tiba, saya hanya memberikan tumpuan pada kertas soalan dengan tidak mengendahkan ‘bangunan sebelah yang diletupkan tentera Jepun’.


Sepanjang 2 tahun saya berada di kuliah, saya pelajari beberapa teknik yang sesuai untuk mengulangkaji, atau lebih tepat, cara mengulangkaji dan memelihara buku dari kerosakan dek ditenyeh peralatan menulis semasa membaca. Lebih-lebih lagi sekiranya saya perlu membaca buku-buku yang setebal Kamus Dewan Edisi ketiga.


Buku-buku muqarrarah itu harganya agak mahal kerana hampir kesemuanya adalah berkulit keras, dan buku yang hanya satu jilid lebih mahal jika dibandingkan dengan yang berjilid-jilid. Itu belum diambil kira mutu cetakan seperti:


  • Jenis kertas yang digunakan, sama ada tebal atau nipis. Sekiranya ia tebal, adalah lebih baik kerana akan memudahkan anda membacanya tanpa kelihatan barisan perkataan pada muka surat yang di belakangnya.

 

Sekiranya ia nipis, anda akan dapati sukar untuk focus membaca dalam jangka masa yang panjang oleh sebab yang disebutkan di atas.

 

  • Warna dakwat juga penting. Lebih banyak warna yang digunakan lebih tinggi harga sebuah buku. Muka surat yang hanya dicetak dengan warna hitam lebih mudah mengundang bosan dari yang berwarna.

 

    • Gambar, seperti: peta, lokasi dan lain-lain.

     

      • Susunan isi kandungan. Maklumat yang disusun mengikut isi dan noktah boleh membezakan harga buku yang tinggi dan rendah. Sebahagian buku-buku sejarah misalnya tidak mempunyai pemerengganan. Kesemuanya disatukan dalam satu halaman.

       

      Maklumat yang diletakkan dalam petak-petak, ‘hierarchy’ dan ‘mind-map’ akan mengambil muka surat yang lebih jika dibandingkan dengan buku-buku yang tidak tersusun isi kandungannya.

      • Cara Pembukuan secara amnya ada tiga: distapel, dilekat menggunakan gam atau dijahit. Buku yang sederhana tebalnya akan distapel atau gam mengikut kesesuaian, manakala buku yang tebal kebiasaannya menggunakan kaedah jahitan. Namun, terdapat juga buku yang tipis tetapi dijahit, dan harganya lebih mahal berbanding dari yang dilekat dengan gam.

       

        • Tahqeeq / dan Takhreej /serta Ta’leeq adalah perkara yang teramat penting dalam buku-buku agama. Seorang penuntut ilmu syar’i pasti tidak akan menafikan hakikat ini.

         

        Harga sebuah buku yang sudah ditahqeeqkan adalah berbeza dari yang belum ditahqeeqkan. Begitu juga halnya dengan takhreej dan ta’leeq. Boleh jadi sebuah buku itu sederhana tebal tetapi mencecah ratusan dolar (Singapore Dollar).

        Tahqeeq:

        Pembetulan yang dilakukan, sama ada menambah maklumat yang kurang pada buku itu mengikut ‘manuscript’ (makhtutot) asal, atau memadamkan maklumat darinya yang tidak ada pada manuscript asal.

        Takhreej:

        Contoh: jika terdapat hadith-hadith yang disandarkan pada Baginda Nabi Muhammad Shollallaahu ‘alaihi wa Sallaam atau athar-athar yang disandarkan pada para sahabat Ridhwaanullaah ‘alaihim ajma’een, maka akan dikaji dan diberikan ‘status’nya.

        Bagi hadith akan diletakkan sama ada Shoheeh, Hasan, Dho’eef, Marfu’, Mauquf, Maqtu’, atau Maudhu’. Namun bagi athar akan diletakkan sama ada thabit atau tidak. Kadang kala status itu diletakkan di bahagian ‘footnote’.

        Ta’leeq:

        Maklumat ringkas yang berperanan menerangkan sesuatu kalimah atau ‘ibaarah (phrase) bagi membantu pemahaman. Kebiasaannya diletakkan di bahagian footnote.


         

        Sebenarnya, terdapat banyak lagi nilai sebuah buku yang belum saya sebutkan. Mungkin anda pembaca lebih mahir dan teliti dalam menilai sebuah buku. Pokok utamanya, buku yang begitu tinggi nilainya perlu dijaga dengan baik, bukan kerana mahal harganya semata tetapi juga penghargaan terhadap karya penulis itu. Karyanya itu adalah warisannya.


        Pada awalan semester tahun pertama, saya terfikir-fikir, tercari-cari cara yang paling baik membaca buku tebal dengan topiknya yang begitu panjang berjela. Bukan cara bagaimana hendak membaca, tetapi bagaimana cara menggarap maklumat-maklumat itu dengan baik supaya dapat saya ingat semula ketika menjawab soalan peperiksaan.


        Tidak lupa juga mengurangkan kerosakan seboleh yang mungkin pada buku itu, kerana saya jenis ‘tangan gatal’ semasa mengulangkaji. Menjadi satu tabiat untuk menconteng!


        Akhirnya, dengan bantuan Allah s.w.t dan pengalaman yang serba kekurangan ini, saya dapat memahami dengan lebih baik dan kemudiannya ingat setiap noktah penting yang telah saya baca menggunakan cara seperti di bawah..


        Alat menulis yang saya gunakan adalah:

        -pensel (mechanical pencil),

        -pena,

        -pemadam, (eraser & correction pen),

        -pembaris ( jenis besi),

        -highlighter (mengikut cita rasa yang sedap di mata, warna kuning)

        -dan kertas kosong.


        Sebelum mula membaca, saya membuka muka surat di akhiran buku iaitu bahagian ‘content page’. Buku-buku bahasa Arab kebiasaannya diletakkan halaman tajuk kandungan buku di bahagian akhir buku sebagai satu adab terhadap ilmu yang terkandung sebelumnya. Namun, terdapat juga buku-buku yang tajuk kandungannya di bahagian depan. Kemudian saya teliti tajuk-tajuk utama itu dan menulisnya di sehelai kertas menggunakan pena.


        Kesemuanya?


        Tidak, saya hanya menulis tajuk yang ingin saya baca. Termasuk juga pembahagian seperti: bab, fasal dan bahagian. Sekiranya ada, masalah juga dituliskan pada kertas itu tadi.

        Kini, saya ada gambaran penuh tentang buku yang akan saya baca. Kertas itu akan saya bawa menemani saya sepanjang membaca. Setiap kali sebelum memulakan bacaan, haruslah kita lafazkan basmalah, hamdalah, selawat dan do’a meminta Allah s.w.t supaya terangkan hati, memudahkan kefahaman, hidayah dan taufiqNya.


        Contoh:


        بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أجمعين


        Kemudian diikuti dengan do’a apa sahaja yang anda inginkan.


        Tidaklah semestinya do’a itu harus disebut dalam bahasa Arab. Ketahuilah, Allah s.w.t Tuhan yang menciptakan kita manusia dan juga setiap bahasa yang terdapat di langit dan bumi. Dia Maha Mengerti lagi Maha Memahami. Do’a lah mengikut keinginan anda. Dia Maha Mendengar.


        Sekiranya saya menemukan noktah penting, saya akan menggariskannya menggunakan pembaris dan pensel. Cubalah sedaya upaya untuk tidak mencacatkan muka surat itu dengan coretan pena anda atau garisan yang bengkang-bengkok.


        Pada pendapat saya, pensel jenis ‘mechanical’ adalah lebih baik kerana ianya tajam dan tidak tumpul, dan juga takut-takut sekiranya saya menggunakan pena mungkin sahaja dakwat dari pena itu tertembus ke muka surat yang dibelakangnya. Lebih-lebih lagi jika kertasnya adalah jenis nipis.


        Garisan yang lurus adalah lebih sedap di pandangan mata sesiapapun yang melihatnya. Kebiasaannya, saya menggunakan pembaris besi kerana ianya akan menghasilkan garisan yang lebih “tajam”.


        Mungkin suatu hari nanti anda akan membacanya semula dan tidak timbul rasa menyesal di kemudian hari kerana anda telah menjaga buku itu dengan baik.



        Cuba anda bayangkan, suatu hari teman anda ingin meminjam dari anda buku tersebut…hmm?


        Ahh..highlighter..pada saya, di sini terdapat dua pilihan:

        1)      Tidak menggunakan highlighter

        Saya lebih cenderung untuk tidak menggunakan highlighter, kerana ianya selalu kelihatan mencomotkan dari menggariskan. Keduanya, takut-takut juga dakwatnya menembusi muka surat yang dibelakangnya.


        2)      Menggunakannya.

        Sekiranya saya ingin menggunakan highlighter saya akan pastikan juga untuk menggunakan pembaris. Kemudian saya akan merengkan muncung highlighter itu agar menghasilkan garisan yang halus, dari sekiranya saya menggariskan dengan bahagian yang lebar ia akan menghasilkan garisan yang lebar juga – comot.


        Setelah selesai satu tajuk, saya akan meletakkan tanda “tick” pada tajuk yang telah saya tuliskan pada sehelai kertas pada awal-awal tadi. Semakin banyak tanda tick itu semakin tenang hati saya kerana kesemuanya jelas kelihatan sejauh mana saya berada.


        Cara di atas bukanlah cara terbaik untuk mengulangkaji untuk sebahagian penuntut. Setiap orang ada cara yang tersendiri. Namun ia adalah cara dimana kedua-dua belah otak kita berfungsi seiringan disebabkan kita menggunakan kedua-dua belah tangan. Lagi banyak penggunaan otak lagi baik.


        Demikianlah al-kisahnya..


        Wallaahu a’lam.

         
        Leave a comment

        Posted by on 30 December 2010 in Madinah

         

        Leave a Reply

        Fill in your details below or click an icon to log in:

        WordPress.com Logo

        You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

        Twitter picture

        You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

        Facebook photo

        You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

        Google+ photo

        You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

        Connecting to %s

         
        %d bloggers like this: